Hukum Menyentuh Perempuan
Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga terdekat yang haram dinikahi dan isteri) dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له
Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. [1]
Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri, adakah batal wudhu’ atau tidak?
Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang masyhurnya adalah tiga:
1. Pendapat Pertama:
Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wudhu’, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak. Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar, Mazhab Syafie, Mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain. Dalil dan hujah mereka; firman Allah:
أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ
Maksudnya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan” [2]
Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: ‘Al-Lams’ iaitu sentuhan. Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar: Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan tangan adalah dikira ‘mulamasah’, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wudhu.” [Riwayat Imam Malik di dalam Al-Muwatta’]
Maka Imam Syafie menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wudhu’ dengan sebab itu. [Al-Umm: 1/63]. Manakala tentang hadis-hadis yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (ada di bawah ini), mazhab Syafie menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah SAW sahaja.
2. Pendapat Kedua:
Tidak terbatal wudhu’ dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib ra. yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: ‘Al-Lams’ itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Sufyan Ath-Thauri. Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wudhu’, kecuali dengan berjimak.
Dalilnya:
1) Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur di hadapan Rasulullah saw yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”. [HR Al-Bukhari : 382]
2) Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wudhu’nya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah ra. Maksudnya: “Pada suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki Baginda ketika Baginda sedang sujud”. [HR Muslim: 486]
3) Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.” [HR Ahmad: 6/260, An-Nasa’ei: 166. Sahih.]
4) Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw mengucup salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda tidak pula mengambil wudhu”. [H.R Ahmad No. 25766, Abu Daud: 179. Sebahagian ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadis ini sahih, tetapi ramai juga yang mengatakan hadis ini dhaif]. Para ulama’ di kala menghuraikan hadis ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wudhu’; kerana sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi saw tidak pula memperbaharui wudhu’nya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra.”
Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah tidak batal wudhu’, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat.
3. Pendapat Ketiga:
Bersyarat, iaitu terbatal wudhu’ jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wudhu’. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk MadinahPendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wudhu’. Perkataan ‘Ghamazni’ dan ‘Massani birijli’ itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wudhu’. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.
Kesimpulan: Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafie sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wudhu’. Sedangkan Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan wudhu’ ialah yang menimbulkan keinginan syahwat.
Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat jumhur yang mengatakan tidak batal wudhu’ dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra. (Turjuman Al-Quran dan Habrul Ummah) dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir].
Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah SAW dan Aisyah adalah dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: “Satu hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun secara umum kemudian dinukil oleh generasi umat ini. Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wudhu’ kerana bersentuh dengan perempuan kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wudhu’ kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74]
Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, adalah lebih baik baginya untuk memperbaharui semula wudhu’nya, sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian ulama’.
Akhukum: Abu Anas Madani.
Sungai Durian,19 Jun 2007.
Rujukan:
1. Al-Majmu’, Imam An-Nawawi. 2/26-38.2.
2. Fiqh At-Toharah, Al-Qardawi, 179-183.3.
3. Syarh Bulughul Maram, Dr Salman Al-Audah, 2/821-827.4.
4. Taudhih Al-Ahkam, Al-Bassam, 1/231-232.
5. At-Tarjih fi masail At-Toharah wa As-Solah, Dr. Mohd Umar Bazamul.
[1] HR At-Tabarani, 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921.
[2] Surah An-Nisa’: 43
Author: yayasanpsd1
Website: https://yayasanpsd.com
Recent Comments