fbpx

Sebab Berlakunya Syirik di Muka Bumi

Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةً وَٰحِدَةً فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ ۚ وَمَا ٱخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلْحَقِّ بِإِذْنِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيم

Maksudnya: “Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [1]

Al-Hafiz Ibnu Kathir telah mengambil riwayat Ibnu Abbas RA ketika ketika menafsirkan ayat ini. Kata Abdullah Ibnu Abbas, jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh AS ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu iu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munazzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah nabi Nuh AS. [2]

Sebab kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang  yang soleh dikalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَقَالُوا۟ لَا تَذَرُنَّ ءَالِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

Maksudnya: “Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa’, yaghuts, ya’uq dan nasra’.” [3]

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya:

Lima berhala tersebut, (wadd, suwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr) ialah  nama orang-orang yang soleh  di kalangan  kaum Nuh AS. Apabila mereka meninggal dunia, maka syaitan mengajar (memujuk) kaumnya agar mereka membuat patung-patung yang menyerupai mereka, kemudian diletakkan dimajlis tempat yang mereka biasa duduk semasa hayatnya dan mereka meletakkan nama patung itu seperti nama tuan asalnya. Maka pengikut orang soleh itu melaksanakan ajaran syaitan tersebut. Apabila golongan yang membuat patung tadi telah meninggal dunia dan datang pula generasi lain yang tidak mengetahui asal-usul kejadian patung, lalu mereka pun turut menyembahnya.

Imam Ibnu Kathir juga menyebut kisah ini sedemikian. Riwayat lain ada menceritakan tujuan mereka mengukir patung itu ialah kerana para pengikutnya takut pegangan  agama mereka menjadi lemah, lalu mereka mengukir patung-patung syeikh tersebut untuk mengingati kembali ajaran dan amalannya. Apabila mereka  melihat patung syeikh mereka, akan bertambah kuat semangat untuk beribadat. Pada peringkat awalnya mereka tidak menyembahnya, tetapi setelah berlalunya masa yang lama, mereka mula membesarkan dan menghormatinya dengan sepenuh hati mereka.

Waktu  yang panjang berlalu, orang-orang alim dikalangan mereka telah meninggal dunia, maka syaitan mengajar lagi: ”Sesungguhnya orang-orang soleh sebelum kamu tidak mengukir patung-patung syeikh mereka kecuali untuk meminta syafaat melaluinya kepada Allah.” Maka bermulalah sejarah penyembahan berhala, tuhan yang lain daripada Allah SWT.

Lalu selepas itu Allah SWT mengutus nabi Nuh AS untuk mengembalikan mereka kepada agama datuk mereka nabi Adam AS. semasa berlakunya taufan pada zaman nabi Nuh AS, kesemua patung-patung yang disembah tersebut telah ditenggelamkan ke dalam perut bumi. Mereka yang diselamatkan Allah SWT dari taufan tersebut, meneruskan hidup di atas muka bumi dengan agama yang benar selama beberapa waktu.

Mengubah Ajaran Nabi Ibrahim

Manakala orang yang mula-mula mengubah perjalanan agama yang diajar oleh nabi Ibrahim AS ialah Amru bin Luhai, iaitu ketua golongan suku Khuza’ah. Beliau adalah seorang tukang nujum yang bersahabat dengan jin. Melalui petunjuk dari jin itu, beliau telah mengeluarkan berhala-berhala yang tersembunyi di dalam tanah di Jeddah. Kemudian beliau menyeru bangsa Arab pada musim haji supaya menyembah berhala dan meninggalkan ajaran nabi Ibrahim AS.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

رَأَيْتُ عَمْرَو بْنَ عَامِرِ بْنِ لُحَيٍّ الْخُزَاعِيَّ يَجُرُّ قُصْبَهُ فِي النَّارِ، وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ سَيَّبَ السَّوَائِبَ

Maksudnya: “Aku melihat Amru bin Amir bin Luhai al-Khuza’i menarik isi perutnya di dalam neraka, kerana dialah orang yang mula-mula merubah perjalanan agama nabi Ismail AS dgn penyembahan berhala.” [4]

Bahaya Pemujaan

Demikianlah bahayanya apabila berlaku pemujaan di dalam masyarakat samada memuja harta benda, pangkat dan sebagainya. Begitu juga dengan perbuatan memuja pemimpin lebih daripada yang sepatutnya. Perkara tersebut akhirnya akan membawa kemusnahana dan bala bencana kepada umat dan masyarakat sebagaimana yang berlaku ke atas kaum nabi Nuh AS dahulu.

Allah SWT telah memberi amaran kepada ahli kitab dgn firman-Nya:

يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَا تَغْلُوا۟ فِى دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ ۚ إِنَّمَا ٱلْمَسِيحُ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ ٱللَّهِ وَكَلِمَتُهُۥٓ أَلْقَىٰهَآ إِلَىٰ مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِّنْهُا

Maksudnya: “Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu (dengan membesarkan nabi Isa sehingga mereka menganggapnya sebagai anak tuhan). Dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripada-Nya.” [5]

Kerana itu jugalah Rasulullah SAW bersabda memberi amaran kepada umatnya, sebagaimana riwayat Sayyidina Umar Al-Khattab RA:

لا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Dan sungguhnya kami telah mengutuskan Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”. [6]

Perkataan thaghut membawa banyak erti dan maksudnya sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama’ Islam, ialah umum untuk semua benda (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) yang disembah dan dipuja selain daripada Allah SWT.

Di antara asas atau tonggak kepada taghut ialah:

    1. Syaitan yang menyeru untuk beribadat kepada tuhan selain daripada Allah SWT.
    2. Pemerintah yang zalim yang telah mengubah hukuman yang diturunkan oleh Allah.
    3. Golongan yang menjalankan hukuman perundangan selain daripada hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT.
    4. Orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan tersembunyi selain daripada Allah SWT.
    5. Golongan yang disembah selain daripada Allah SWT (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) dan ia suka serta redha dengan perbuatan yang dilakukan terhadapnya itu.

Inilah di antara tafsir atau makna ’taghut’  yang dimaksudkan dalam ayat tersebut.

Demikianlah betapa pentingnya peranan rasul-rasul AS utk mengembalikan manusia supaya taat dan tunduk kepada Allah sahaja.

Kita juga mestilah menolak semua jenis taghut kerana inilah syarat untuk menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul serta berada di atas landasan agama Islam yang diredhai Allah.

Firman Allah SWT:

لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَىِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengkufurkan (menentang dan menghancurkan) Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan tali Allah yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [7]

Wallahu’alam.

Abu Anas Madani. PSD

6 Safar 1433H – 31/12/2011.

[1] Surah Al-Baqarah: 213

[2] Surah Nuh: 23

[3] Hadis Riwayat Bukhari

[4] Surah An-Nisa’: 171

[5] HR Bukhari Bukhari dan Muslim

[6] Surah An-Nahl: 36

[7] Surah Al-Baqarah: 256

Author:
Yayasan Pondok Sungai Durian (YPSD) merupakan organisasi yang berfungsi untuk mengendali Madrasah Muhammadiah (SMU) Pondok Sungai Durian, Maahad Tahfiz Ar-Rahman, Pengajian Pondok (Talaqqi), Masjid Ar-Rahman, Maktabah, Pondok warga emas, dakwah di luar kawasan, dakwah di alam maya dan menyebarkan pamplet dakwah, risalah, CD & buku dan lain-lain. Bagi mengerakkan gerak kerja Yayasan Pondok Sungai Durian, sumbangan boleh disalurkan ke Bank Islam (03-072-01-013646-1) dan Maybank Islamic (5530-2961-9714). Untuk maklumat lanjut, hubungi pengerusi YPSD, Dato' Dr. Abdul Basit (Hp. 0199441881), Setiusaha YPSD, Ustaz yahya Yaakub (Hp. 0148363449). Email Yayasan Pondok Sungai Durian : ypsd2017@gmail.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

Hubungi kami jika anda mempunyai sebarang soalan atau idea.
Skip to content