Daurah Ilmiah Fiqh Zakat Bersama Sheikh Dr. Labib Najib
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Program Daurah Ilmiah Fiqh Zakat yang berlangsung pada 11–12 April 2025 bertempat di Madrasah Muhammadiyah, Pondok Sungai Durian, Kelantan telah berjalan dengan lancar dan penuh keberkatan.
Daurah ini telah disampaikan oleh Sheikh Dr. Labib Najib, seorang tokoh ulama dari Yaman yang menetap di Indonedia. Beliau yang juga merupakan pakar dalam Fiqh Mazhab As-Syafi‘i. Program ini memberi tumpuan kepada pengajian kitab Fathul Qarib, khususnya bab zakat yang dibentangkan secara terperinci dalam bahasa Arab.
Jumlah pendaftaran peserta keseluruhannya seramai 110 orang secara online dan juga walk-in.
Para peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah, asatizah, serta masyarakat umum telah menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan. Pengisian ilmu yang padat, sesi soal jawab yang interaktif, serta suasana pembelajaran yang kondusif menjadikan program ini sangat bermanfaat dan memberi kesan mendalam kepada semua yang hadir.
Kemeriahan program turut diserikan dengan aktiviti santai pada hari kedua, termasuk lawatan ke kawasan air terjun yang memberi ruang kepada peserta untuk beristirahat sambil mengeratkan ukhuwah.
Pihak penganjur bersama iaitu Yayasan Pondok Sungai Durian (YPSD) dan Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga program sebegini terus diadakan bagi menyemarakkan semula kecintaan terhadap ilmu Islam dan warisan ulama.
Author: yayasanpsd1
Website: https://yayasanpsd.com
Recent Comments