Program Ihya’ Ramadan & Iftar Bersama TNB
KUALA KRAI, 5 Mac 2026 – Maahad Muhammadi Pondok Sungai Durian (MMPSD) telah menganjurkan Program Ihya’ Ramadan dan Majlis Iftar bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung pada Khamis, 5 Mac 2026 bersamaan 15 Ramadan 1447H di Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

Ketibaan delegasi pengurusan TNB disambut mesra oleh Ahli Syura Yayasan Pondok Sungai Durian (YPSD), YB Ustaz Haji Abdul Latiff Abdul Rahman, bersama Mudir MMPSD, Dr. Haji Bunyamin Abdul Rahman, serta Setiausaha MMPSD, AF Ustaz Haji Yahya Yaacob Abi Nailah.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi YPSD merangkap Musyrif MMPSD, YBhg. Dato’ Dr. Haji Abdul Basit Abdul Rahman, yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana memilih Pondok Sungai Durian sebagai lokasi penganjuran Program Ihya’ Ramadan tahun 2026.
Turut menyampaikan ucapan ialah Chief Financial Officer TNB, Encik Badrulhisyam bin Fauzi, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak pondok atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program Ihya’ Ramadan bersama warga MMPSD.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada Pondok Sungai Durian (PSD) serta kepada pelajar asnaf dan anak yatim daripada aliran pondok dan tahfiz, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan pihak TNB terhadap pembangunan pendidikan Islam serta kebajikan pelajar.
Antara wakil TNB yang hadir ialah Pengurus Perkhidmatan Pengguna Kuala Krai, Encik Sukri bin Yaakob, Eksekutif Business Support Office-Kelantan, Bahagian TNB Global Business Solutions, Encik Mohd Zulhelmi bin Abdullah, serta Encik Tarmizi, bersama barisan pengurusan TNB yang lain.
Program turut diserikan dengan bacaan doa oleh Syeikh Mutawwi’, sebelum para hadirin bersama-sama menghadiri majlis berbuka puasa, diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah, serta majlis moreh bersama warga pondok dan para jemaah Masjid Ar-Rahman, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai yang terdiri daripada masyarakat sekitar.
Program yang berlangsung pada 5 Mac 2026 bersamaan 15 Ramadan 1447H ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi pondok dan pihak korporat, malah menjadi platform untuk menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan melalui kebersamaan, kebajikan dan ukhuwah Islamiah dalam kalangan masyarakat.
Author: yayasanpsd1
Website: https://yayasanpsd.com
Recent Comments